Untuk pengguna WiFi di luar sana, ini ada info yang ingin di kongsikan.
Google Pic.
RANGKAIAN wayarles atau lebih popular dengan panggilan WiFi bukanlah suatu yang asing di negara kita. Setelah lebih 12 tahun Internet diperkenalkan di Malaysia, bilangan pengguna rangkaian yang menggunakan frekuensi radio ini semakin bertambah. Jika dahulu, WiFi hanya terhad kepada pengguna komersil seperti kafe eksklusif dan organisasi, kini ramai pengguna memasangnya di rumah bagi memudahkan mereka melungsuri Internet.
Namun masih ramai pengguna yang tidak melindungi rangkaian mereka dengan ciri keselamatan yang terdapat pada AP atau Access Point. Ini menyebabkan rangkaian tanpa wayar mereka terdedah kepada penjenayah siber - penipu, lanun siber dan pencuri maklumat.
Pernahkah anda terfikir, rangkaian anda yang tidak dikunci boleh digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti seperti menghantar emel ugutan, mencuri kata laluan perbankan dalam talian, menulis blog berunsur subversif serta menggodam laman web organisasi tertentu?
Lebih menakutkan lagi, jika pihak berkuasa mengesan alamat IP capaian Internet anda sebagai punca aktiviti jenayah yang dilakukan, menyebabkan anda menjadi 'pak sanggup' di atas kesalahan orang lain.
Ya!, anda berhadapan dengan risiko ini sekalipun tujuan tidak mengaktifkan ciri sekuriti pada rangkaian anda ialah bertujuan untuk berkongsi akses Internet dengan jiran-jiran anda. Ramai juga yang tidak melindungi rangkaian mereka kerana kekurangan pengetahuan teknikal.
Golongan tidak bertanggungjawab ini lazimnya akan menumpang rangkaian wayarles yang tidak dilindungi - secara automatik membolehkan mereka menyamar seolah-olah pengguna sah pemilik sesuatu rangkaian itu.
Ia tidak ubah seperti mencuri talian telefon, cuma bezanya pemilik tidak akan perasan kerana kebanyakan pengguna rangkaian ini merupakan pelanggan jalur lebar tanpa had. Malah, catatan pada bil bulanan tidak menunjukkan sebarang penggunaan yang luar biasa.
Secara perbandingannya, pemilik rangkaian wayarles rumah di negara-negara Barat lebih menitikberatkan tahap keselamatan rangkaian mereka, menurut kajian yang dijalankan oleh firma sekuriti RSA tahun ini.
Di kota Paris sebagai contoh, 98 peratus daripada pemilik rangkaian WiFi telah melindungi rangkaian mereka. New York pula menduduki tempat kedua dengan 97 peratus manakala London menduduki tempat ketiga dengan 90 peratus. Sungguhpun belum ada statistik khusus yang menunjukkan jumlah aktiviti jenayah siber jenis ini di negara kita, ia tidak bermakna kita semua terhindar daripada ancaman ini.
Salah satu contoh yang wajar dijadikan iktibar ialah kes seorang remaja di Singapura yang menghantar ancaman bom palsu di forum Internet menggunakan rangkaian wayarles jirannya sehingga menyebabkan jirannya yang tidak bersalah itu ditahan pihak berkuasa.
Aktiviti menumpang rangkaian seperti ini begitu popular. Ini kerana penjenayah siber tahu sekiranya ada pihak yang cuba mengesan, jejaknya akan berakhir di rumah pemilik rangkaian tersebut. Sungguhpun pemilik rangkaian WiFi yang tidak bersalah boleh membersihkan nama mereka dengan menepis tuduhan, proses ini mengambil masa yang agak lama.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, seorang lelaki berjaya memperdayakan pihak polis apabila melakukan rompakan terancang ke atas sebuah kereta perisai yang membuat penghantaran duit ke sebuah bank. Beberapa hari sebelum itu, Anthony Curcio, 28, telah membuat iklan online dengan menggunakan rangkaian wayarles individu lain bagi mendapatkan sekumpulan orang untuk memakai pakaian yang sama di bank tersebut bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.
Anthony yang turut memakai pakaian berwarna yang sama seperti diiklankan berjaya melarikan sejumlah wang kerana pihak polis yang bertindak atas maklumat orang awam terkeliru. Ini kerana terdapat sejumlah orang di kawasan bank tersebut pada masa yang sama. Sebagai contoh, sekiranya rangkaian anda digunakan oleh seseorang untuk melakukan penipuan kad kredit (menggunakan maklumat kad kredit individu lain dan membuat pembelian dalam talian), pihak polis boleh merampas komputer anda bagi tujuan penyiasatan dan ini sudah cukup menjadi mimpi buruk dalam hidup anda.
Pengguna yang ingin mengunci rangkaian mereka perlu menggunakan perkakasan wayarles yang dilengkapkan dengan ciri keselamatan seperti WiFi Protected Access atau WPA. Sungguhpun hari ini, terdapat jenis ciri sekuriti wayarles yang boleh digodam, tetapi bilangan individu yang mempunyai kepakaran seperti ini tidaklah begitu banyak dan masih terkawal.