Salah satu petua dari orang yg terdahalu...jangan bagi anak makan pulut klo anak tu masih belum boleh bercakap, nanti gagap jadinya. Betul ker? Mak aku pon ada cakap gak, tapi sejauh mana kesahihannya, aku pon tak tau. Tapi, anak aku dah pon merasa pulut tu, mak mertua aku bagi, siap aku tanya lagi boleh bagi ker ni...tak gagap ker? Risau gak aku. So...tunggu jerlah anakku tu gagap ker tak, hehehehe.....Bagi mencari apa punca gagap ni, aku pon carilah pak cik GOOGLE dan terjumpalah artikel pasa penyakit gagap ni. So...check it out:
Menyanyi kurangkan gagap kanak-kanak
Kelihatan ibunya dengan sabar mendengar sepatah demi sepatah perkataan yang keluar daripada mulut anak kecilnya. Habis sahaja budak tersebut bercakap barulah kedengaran ibunya bersuara. Rasa kasihan timbul melihat kanak-kanak tersebut seperti tercungap-cungap untuk menghabiskan satu ayat yang dituturkan. Kanak-kanak sebegitu diklasifikasikan menghadapi gangguan dalam kelancaran pertuturan atau gagap.
Pertuturan tersekat, sekali gus mengeluarkan perkataan, bunyi atau suku kata yang berulang-ulang, malah kadang kala berlaku sebutan terhenti dan ayat yang ingin disampaikan tidak dapat dibina.
Pakar Kanak-Kanak Pusat Perubatan Selangor, Dr. Yasmin Mohd. Yusof berkata, kanak-kanak yang gagap turut mengalami pergerakan luar kawalan pada muka seperti mata berkedip-kedip dan gerakan pada otot pipi atau leher. Menurutnya, pergerakan ini berlaku kerana kanak-kanak itu cuba mengeluarkan sesuatu ayat tetapi terlalu sukar. Dia akan mencuba dengan sepenuh tenaga bagi memaksa perkataan itu keluar sehingga berasa penat.
‘‘Justeru, mereka akan cuba mengelak keadaan-keadaan tertentu seperti memberi ucapan, bercakap melalui telefon serta persembahan di khalayak ramai.‘‘Lebih teruk lagi apabila diketawakan atau diejek, dibuli dan dicela kerana gangguan pertuturan tersebut.‘‘Ini memberi kesan psikologi seperti hilang keyakinan, sering mengasingkan diri dan enggan bergaul dengan kawan,’’ katanya.
Menurut Yasmin, ramai juga beranggapan bahawa orang yang gagap turut menghadapi masalah kekuatan IQ (Intelectual Quotient) terutama dalam pembelajaran.‘‘Itu tidak benar kerana gagap adalah masalah pertuturan dan tidak ada kaitan dengan kecerdasan otak.‘‘Bagaimanapun, gagap boleh menjejaskan kecemerlangan dalam pekerjaan atau pembelajaran. Ini kerana ia berkait rapat dengan ketidakbolehan berkomunikasi dan menyampaikan buah fikiran sehingga gagal menyakinkan orang lain,’’ katanya.
Jelasnya, tanda-tanda gagap biasa boleh dikesan pada masa kanak-kanak mula bercakap iaitu seawal usia setahun setengah hingga dua tahun.‘‘Pada waktu itu kanak-kanak baru belajar menyebut ayat yang pendek.‘‘Sekiranya kanak-kanak tersebut gagap ketika umur dua tahun dan menjadi normal menjelang usia lima tahun, ia dinamakan gagap sementara dan gagap itu akan hilang dengan sendiri.
‘‘Tetapi jika selepas berusia lima tahun masih juga gagap, kemungkinan ia akan kekal dan perlu menjalani terapi profesional,’’ ujarnya. Tambahnya, lebih daripada lima peratus kanak-kanak di bawah usia dua tahun mungkin ada masalah gagap. Sebenarnya, kata Yasmin, punca sebenar gangguan pertuturan sehingga menyebabkan seseorang itu gagap masih tidak diketahui.‘‘Pakar sains berpendapat antara faktor yang berkaitan ialah genetik. Sekiranya salah seorang ibu bapa atau ahli keluarga kanak-kanak itu gagap maka anaknya akan gagap juga.
‘‘Ini terbukti dalam sebuah laporan kesihatan bahawa sebanyak 60 peratus daripada kanak-kanak gagap mempunyai ahli keluarga yang juga gagap,’’ katanya.
Genetik:
Selain faktor genetik, jelas pakar kanak-kanak ini, faktor pertuturan dan bahasa seperti gagal mencari perkataan yang betul, menghadapi masalah mengeluarkan bunyi untuk bertutur dan bercakap cepat boleh menyumbang kepada masalah ini. Begitu juga dengan persekitaran seperti di rumah, sekolah, kawan-kawan dan musuh. Sekiranya di rumah atau sekolah, kanak-kanak ini sentiasa dihalang daripada bercakap, masyarakat sekitar sering mengusik kerana kelemahan tersebut, maka bertambahlah masalah pertuturannya.
‘‘Personaliti seperti kerisauan, suka menyendiri atau sensitiviti kepada anggapan orang lain, tekanan masa dan masalah kesihatan juga boleh menyebabkan seseorang itu gagap,’’ ujarnya.
Tambahnya, gagap berlaku empat kali lebih banyak pada kanak-kanak lelaki daripada perempuan.
‘‘Untuk membantu mereka, ibu bapa, keluarga atau orang terdekat perlu membantu sebelum dirujuk kepada terapi profesional.‘‘Ibu bapa perlu memberi peluang kepada kanak-kanak gagap ini untuk menghabiskan sesuatu ayat. Jangan ganggu apabila mereka cuba bercakap
‘‘Jangan betulkan percakapan mereka, begitu juga jangan sesekali menyuruh mereka mengulangi sebutan kerana ia akan bertambah salah.‘‘Ibu bapa perlu bercakap lembut dan perlahan tetapi jelas dan bagi masa kanak-kanak itu untuk menjawab semula,’’ katanya.
Menurut Yasmin, banyak berkomunikasi bersama anak yang gagap ini terutama ketika beriadah, makan dan waktu terluang supaya tahap pertuturan mereka meningkat.
‘‘Begitu juga perlu mengurangkan faktor tekanan di rumah yang boleh membuatkan kanak-kanak itu menjadi lebih gagap,’’ ujarnya.
Yasmin memberitahu, ada kajian yang menyatakan bahawa menyanyi boleh mengurangkan gagap kerana ia suatu terapi yang baik.
‘‘Walaupun gagap dapat dikurangkan tetapi ia mengambil masa. Ada juga yang kembali menjadi gagap selepas menjalani terapi.
‘‘Sehubungan itu, pakar terapi pertuturan akan meneliti punca gagap pada seseorang individu sebelum membuat terapi.‘‘Bahkan ada juga yang mengajar kanak-kanak menggunakan pernafasan untuk mengatasi gagap.
“Oleh itu setiap terapi mungkin menggunakan cara berbeza, bergantung kepada masalah kanak-kanak tersebut,’’ katanya.
Tip tangani gagap:
1. Relaks dan tidak terburu-buru untuk bertutur.
2. Bercakap secara perlahan.
3. Bercakap apa yang anda mahu cakap.
4. Jangan paksa mengeluarkan perkataan kerana ia akan membuat anda susah untuk bertutur.
5. Tidur dengan cukup.
Kesimpulannya...anak anda takkan gagap yer klo makan pulut.