Definisi Kiblat Dan Cara Semak Arah Kiblat

Sunday, July 16, 2023

Definisi Kiblat Dan Cara Semak Arah Kiblat ǀ Pengetahuan dan ilmu dalam menentukan arah kiblat adalah sangat penting kerana jika kurang pengetahuan, arah kiblat boleh jadi tersasar daripada kedudukan nya yang tepat. Arah kiblat ini juga bukan tertakluk ketika kita hendak melakukan ibadah solat sahaja, tetapi juga diguna pakai untuk urusan keagamaan yang lain seperti ketika hendak menyembelih haiwan ternakan, ketika berdoa, membaca Al-Quran, pengurusan tanah dalam pengebumian jenazah orang islam dan lain-lain lagi. Ianya perlu menghadap arah kiblat yang betul.


Tahukah anda, dalam pemeriksaan di sekitar Lembah Klang oleh Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) mendapati, dalam 5,000 kediaman umat islam terdapat 40 peratus arah kiblat tersasar dari kedudukan sebenar sehingga 180 darjah. Ini menunjuk kan masih ada sebahagian masyarakat islam yang tidak menitikberatkan kedudukan arah kiblat yang betul. Adakah mereka ini masih kurang jelas atau tidak faham betapa penting nya kiblat yang betul? Jom kita belajar apa itu definisi arah kiblat dan cara Semak arah kiblat yang betul.

    Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Arah Kiblat?

    Menurut kamus, definisi kiblat bermaksud arah yang dihadap ketika solat bagi orang Islam manakala dalam ilmu falak, arah kiblat merupakan arah yang menghala ke Kaabah yang terletak di Masjidil Haram di Mekah mengikut jarak terdekat di atas glob bulatan bumi. Menurut ulamak, antara syarat solat yang sah adalah dengan menghadap ke arah kiblat. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah (149):

    "Dan dari mana sahaja engkau keluar untuk mengerjakan sembahyang, maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan ingatlah Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan."

    Ada Ke Situasi Solat Yang Dibenarkan Jika Tidak Menghadap Kiblat?

    Ya… Ada dan saya pun baru tahu. Walaupun syarat sah solat adalah menghadap ke kiblat, namun begitu jika berlaku situasi tertentu yang dibenarkan, solat mereka tetap sah seperti situasi:

    1) Berlakunya peperangan. Bila sedang bertempur dengam musuh, mana nak tahu arah kiblat kan Maka solat itu boleh dilakukan dalam keadaan apa sahaja seperti dalam keadaan meniarap, berlari dan sebagainya.

    2) Solat di tempat duduk kenderaan dalam kenderaan yang sedang bergerak kerana kenderaan yang sedang bergerak berubah-ubah arahnya. 

    3) Uzur yang keadaannya terlantar di katil hospital dan tidak boleh bergerak. Solat mereka sah jika menghadap arah mana sekalipun kerana katil hospital tidak oleh dialih-alih kan sesuka hati.

    Tetapi dalam situasi yang dibenarkan ini, sebelum bersolat kita perlu beriktikad. Iaitu menaruh penuh keyakinan dan kepercayaan di dalam hati bahawasanya solat kita adalah menghadap ke arah kiblat. Perlu di ingatkan juga jika anda membuat andaian arah kiblat secara membuta tuli atau dengan sengaja tidak menghadap kiblat walaupun sudah mengetahuinya, maka tidak sah solatnya.

    Bagaimana Cara Menentukan Arah Kiblat Dan Apakah Peralatan Yang Digunakan?

    Terdapat pelbagai cara dan teknik yang kita boleh lakukan untuk menyemak arah kiblat iaitu dengan menggunakan cara tradisional atau pun dengan cara moden. Kalau tradisional, boleh gunakan kaedah buruj bintang, kaedah matahari terbenam dan juga matahari istiwa atas kaabah. Manakala cara moden pula, kita gunakan peralatan pada zaman teknologi kini seperti kompas prismatik, teodolit dan pengiraan arah kiblat.

    Cara Tradisional

    1) Buruj Bintang

    Iaitu sekumpulan bintang yang mempuanyai bentuk hampir sama serta berdekatan antara satu sama lain yang berada di suatu kawasan langit yang dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Dalam satu buruj tu adalah bintang yang ada pada satu kawasan yang sama. Bentuk haiwan dan geometri antara bentuk buruj bintang yang mudah dikenal pasti.

    2) Kaedah Matahari Terbenan 

    Ini pula kita kena tahu nilai azimut tempat matahari terbenam kalau nak dapatkan arah kiblat yang tepat kerana di Malaysia ni arah matahari terbenam sentiasa berubah setiap bulan dari azimut 240 darjah sehingga 295 darjah. Kalau nak tahu, maksud Azimut ialah ukuran sudut dalam sistem koordinat sfera

    3) Matahari Istiwa' Atas Kaabah 

    Kejadian ini akan berlaku dua (2) kali dalam setahun dimana matahari berada tepat di atas Kaabah. Ini lah masa yang tepat untuk membuat semakan arah kiblat yang betul kerana bayang-bayang yang terhasil pada objek tegak di seluruh dunia akan menghala pada arah Kiblat. Apa yang kitab oleh buat ialah, dapatkan apa-apa objek tegak, tandakan satu garisan pada bayang-bayang yang muncul dengan salotape atau marker pen.

    Cara Moden

    1) Kompas Prismatik

    Seiring dengan perkembangan teknologi, Kompas antara kaedah yang digunakan dengan mengambil kira nilai azimuth dalam menentukan arah kiblat. Arah Kompas pula merujuk pada arah utara, timur, selatan dan barat. Cuma kalau nak tahu arah kiblat yang betul, kita kena tahu nilai azimuth. Antara Kekurangan penggunaan kompas pula ialah, ianya perlu diselenggara sebelum digunakan kerana kompas cepat mengesan arus elektrik dan bahan logam yang ada disekitar kita.

    2) Teodolit 

    Antara peralatan moden yang memerlukan kemahiran tinggi yang digunakan oleh juru ukur untuk penandaan arah kiblat. Teodolit mengukur bacaan sudut pada tahap kejituan dan ketepatan yang tinggi. Teodolit jenis digital yang paling mudah digunakan walaupun terdapat berbagai jenis teodolit moden, 

    3) Pengiraan Arah Kiblat

    Menggunakan ilmu matemaik merupakan antara medium dalam mancari arah kiblat dengan tepat. Ianya membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi rujukan (kaabah) dan koordinat geografi tempatan yang hitungan nya berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle)

    Bila Fenomena Istiwa’ Adzam Akan Berlaku?


    Fenomena Istiwa’ A’dzom atau Matahari istiwa atas kaabah ini adalah nilai sudut Istiwa’ matahari akan bersamaan dengan nilai latitude Mekah di mana terletaknya Kaabah dan fonemana ini akan berlaku selama dua (2) kali dalam setahun bermula pada 28 Mei antara jam 5:16 petang dan 16 Julai antara jam 5:28 petang dimana kedudukan matahari betul-betul berada di atas Kaabah. Tempoh masa adalah selama 20 minit dari bermulanya waktu Istiwa’.

    Jika berlaku pada tahun lompat pula, fenomena Istiwa’ A’dzom akan berlaku lebih awal sehari iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai dan tempoh masanya adalah sama. Jadi… Kalau anda nak dapatkan arah kiblat yang tepat, boleh gunakan kaedah ini untuk penandaan arah kiblat.


    Kesimpulannya

    Jom lah kita semak arah kiblat rumah kita. Tepat atau pun tidak kerana bagi mendapatkan solat yang sempurna, penentuan arah kiblat yang betul dan tepat adalah sangat penting. Malahan antara syarat sah solat lima waktu dan solah sunat yang lain adalah dengan menghadap ke arah kiblat. Selain daripada itu, dengan pengetahuan kita tentang arah kiblat, ianya dapat menghindarkan kita dari melakukan perbuatan yang ditentang seperti membuang air kecil atau air besar dengan menghadap kiblat. 

    Bila kita belajar dan ambil tahu tentang sesuatu ilmu. Sekurang-kurang nya kita dapat mengelak kan diri dari melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang berkaitan dengan arah kiblat ni. Nampak kan hikmhanya di situ.

    You Might Also Like

    0 komen



    Labels

    Intellifluence

    Afizah Abd Rahman is an Intellifluence Trusted Blogger

    Blog Archive