6 Cara Mudah Menabung Untuk Gandakan Simpanan dan Pelaburan | Sama ada kita sedar atau pun tidak, bahang kemelesetam atau kejatuhan ekonomi sudah pon mula dirasai sedikit demi sedikit. Tidak dinafikan antara punca penyebab berlakunya krisis ekonomi ini adalah susulan dari pandemik COVID-19 yang berlarutan selama dua tahun menyaksikan aktiviti ekonomi, urusniaga serta pertumbuhan perdagangan terjejas teruk. Ianya bukan sahaja terkesan di Malaysia malahan terkesan di seluruh dunia.
Bila krisis ekonomi mula melanda dunia, nilai mata wang mulai jatuh dan dapat kita saksikan kadar inflasi meningkat. Walaupon Malaysia mengalami kadar inflasi yang rendah berbanding dengan negara-negara lain, tetapi ianya tetap memberi impak yang sangat besar apabila harga barangan, bahan mentah dan juga perkhidmatan turut mengalami kenaikan secara tidak langsung meningkatkan lagi kos sara hidup. Sudah semestinya mereka yang paling terkesan dengan situasi ini adalah dari golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Bukan itu sahaja, mereka yang membuat pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kenderaan terpaksa menanggung kenaikan kadar pinjaman bila Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan bukan sekali tetapi tiga kali berturut-turut secara berperingkat bagi tahun 2022 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan OPR dijangka naik lagi menjelang Januari tahun hadapan. Keadaan ini menjadikan bebanan hutang sedia ada semakin bertambah dan yang membimbangkan bila nilai kadar faedah naik, masyarakat gagal membayar hutang.
Apakah jalan penyelesaian dan perkara yang perlu kita lakukan untuk mengatasi masalah ini? Memandangkan krisis ekonomi dijangka akan melanda seluruh dunia pada tahun 2023 malah akan menjadi lebih sukar lagi. Bagi saya, menabung dan menggandakan lagi simpanan kewangan dan pelaburan sedia ada adalah sangat penting dalam mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang ini dan masa akan datang untuk kegunaan jika berlaku kecemasan.
Faedah Menabung
Menabung bermaksud menyimpan wang kertas dan syiling dalam tabung. Menabung banyak memberi manfaat kerana hasil dari tabungan tersebut boleh kita gunakan untuk simpanan masa hadapan, persediaan melanjutkan pelajaran, dapat mengurangkan beban ibu bapa dan juga kegunaan sewaktu kecemasan. Amalan menabung ini sangat baik dan perlu diterapkan pada setiap individu. Selain menyimpan wang didalam tabung, ada juga cara lain yang boleh di aplikasikan bagi menambah simpanan kewangan. Disini saya kongsikan 6 cara mudah menabung:
6 Cara Mudah Menabung Untuk Gandakan Simpanan
1) Asingkan Duit Kertas Berwarna
Duit kertas berwarna yang saya maksudkan adalah duit Biru (RM1), duit Hijau (RM5), duit Merah (RM10, duit Oren (RM20), duit Hijau Muda (RM50) dan duit Ungu (RM100). Dengan teknik ini saya berjaya mengumpul duit sehingga mencecah empat angka tau. Saya memang fokuskan pada duit biru dan duit hijau. Cuma duit ungu tu susah sikit lah… hehe…
Duit biru memang saya asingkan setiap hari seringgit untuk setiap bulan. Duit hijau pula, kalau dapat saya masuk terus dalam sampul sebab duit hijau bukan hari-hari ada. Nak senang anda boleh follow jadual ni. Kalau konsisten dan berdisiplin tinggi, memang boleh dapat banyak.
2) Kumpul Duit Syiling
Biasa nya duit syiling ni kita tak ambil kisah sangat. Kadang-kadang terbiar merata. Apa kata lepas ni kumpul duit syiling pula. Duit syiling pon bernilai walau jumlah nya kecil. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Pernah dengar tak ada orang kumpul duit syiling mampu beli kereta secara tunai? Bukti nya lelaki ini berjaya membeli kereta idamannya secara tunai menggunakan wang syiling hasil simpanan selama empat tahun. Hebat kan. Mari lah kita kumpul duit syiling.
3) Tolak 10% Daripada Duit Gaji Khas untuk Simpanan
Untuk yang berpendapatan rendah atau cukup-cukup makan, memang susah nak konsisten menyimpan setiap bulan. Mungkin ada boleh gunakan Formula 90/10 untuk urus gaji dimana duit gaji dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 10% untuk simpanan dan 90% untuk perbelanjaan.
Memandangkan situasi ekonomi sekarang, kita memerlukan simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 6 - 12 bulan gaji untuk menampung perbelanjaan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Jadi… Kena usaha kan juga untuk menyimpan.
4) Simpan Duit Dalam ASB atau Tabung Haji
Selain tolak 10% dari gaji setiap bulan, anda boleh laburkan duit gaji dengan menyimpan di dalam ASB atau pun Tabung Haji. Kelebihan yang boleh anda perolehi bila menyimpan di platform ini ialah mendapat bonus tahunan dan pulangan dividen yang boleh dikatakan tinggi juga setiap hujung tahun. Secara tidak langsung ianya boleh menggandakan lagi wang simpanan.
5) Buat Kerja Sampingan Untuk Tambah Pendapatan
Apa kena mengena kerja sampingan dengan menabung? Mudah sahaja, duit dari pendapatan sampingan tersebut kita jadikan akaun simpanan tambahan. Kalau boleh jangan usik gaji tambahan ini. Banyak kerja sampingan yang boleh kita buat seperti penghantar makanan / barang (FoodPanda dan Grab). Dari media sosial pon kita boleh jana pendapatan melalui platform Blog, IG, FB, Tiktok, dropship dan anda juga boleh daftarkan diri dalam program Affiliate seperti Lazada, Shopee dan lain-lain lagi.
Sebenarnya ada sahaja kerja tambahan yang boleh kita cari dan buat. Cuma kena pandai cari kerja yang bersesuaian dengan diri supaya tidak mengganggu kerja hakiki yang sedia ada ini.
6) Rancang Perbelanjaan Harian
Maksudnya disini, rancang perbelanjaan mengikut keperluan dan bukan nya kehendak. Ramai yang berbelanja mengikut kehendak sedangkan gaji yang diterima setiap bulan tidak mencukupi pun atau cukup-cukup makan sahaja untuk menampung keperluan harian. Pantang nampak diskaun sana sini, mula lah tak tentu arah. Pada hal barang tersebut lebih kepada kehendak.
Jadi… Sebelum membeli, senaraikan atau tulis setiap barang-barang yang hendak dibeli. Bila perbelanjaan terancang, secara tidak langsung kita boleh mengelak dari berbelanja lebih serta dapat menigkatkan lagi disiplin dalam berbelanja.
7) Konsisten Menabung Setiap Bulan
Bagi saya, konsep asas dalam menabung ini ialah bila kita konsisten menyimpan duit setiap bulan dan duit tersebut tidak diusik / dikeluarkan. Saya sendiri akui bukan mudah sebenarnya untuk konsisten lebih-lebih lagi bila pendapatan kita hanya cukup-cukup makan. Tapi bagi saya, tak dapat jumlah yang banyak, sedikit pun tidak mengapa asalkan ada menyimpan.
Set kan dalam minda yang anda mampu menyimpan setiap bulan. Kalau nak track hasil tabungan, anda boleh pakai savings calculator untuk mengetahui dengan cepat jumlah wang yang akan anda simpan dalam tempoh savings yang ditetapkan.
Amalkan Menabung Dari Sekarang
Sempat lagi ke nak menabung memandangkan tahun 2023 akan tiba kurang dua bulan dari sekarang? Tiada istilah cepat atau lambat. Yang penting kita usaha untuk menambah tabungan dan gandakan simpanan kecemasan yang ada kerana kita perlu membuat persediaan untuk kemungkinan tahun kewangan yang sukar pada 2023 ini nanti. Amalkan menabung dari sekarang. Kalau anda nak tahu, kebanyakan pakar ekonomi dan juga Bank Dunia sudah mengeluarkan amaran tentang ramalan krisis ekonomi global akan melanda seluruh dunia.
Jika tiada langsung simpanan, anda boleh mula menyimpan dengan jumlah simpanan yang kecil dahulu kerana ianya akan meningkat sedikit demi sedikit. Tak kan nak tunggu sehingga berlaku krisis kemelesetan ekonomi baru mula nak sedar kan. Jadi… Kita kena bertindak dari sekarang untuk belajar urus kewangan dengan lebih baik lagi.